'/>

Ngiling Bidai Tuai Rumah Suring

CENDERAMATA: Ding (kiri) menerima cenderamata daripada Tuai Rumah Suring selepas menyempurnakan Majlis ‘Ngiling Bidai’ di Sungai Tulai, Bintangor petang kelmarin.
CENDERAMATA: Ding (kiri) menerima cenderamata daripada Tuai Rumah Suring selepas menyempurnakan Majlis ‘Ngiling Bidai’ di Sungai Tulai, Bintangor petang kelmarin.
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ding Kuong Hiing membawa khabar gembira kepada penduduk Rumah Suring Sana, Sungai Tulai di sini apabila beliau berjanji menyelesaikan masalah letak kereta di rumah panjang tersebut.
Menurutnya, beliau memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) datang ke rumah panjang tersebut melakukan tinjauan sebelum projek itu dilaksanakan.
“Bagaimanapun, kita mesti membina sebuah jambatan besar dahulu sebelum projek ini dilaksanakan di rumah panjang anda,” katanya semasa menghadiri Majlis ‘Ngiling Bidai’ di Rumah Suring petang kelmarin.
Penduduk Rumah Suring mempunyai 37 pintu sudah menanti berpuluh tahun lamanya projek tersebut dan mereka berharap mempunyai tempat meletak kereta seperti rumah-rumah panjang berdekatan.
Selama ini penduduk di rumah panjang tersebut meletakkan kenderaan mereka di rumah-rumah panjang berdekatan sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan terutama pada musim perayaan Hari Gawai Dayak.
Dalam pada itu, Ding turut memberi jaminan bahawa beliau komited merealisasikan projek tersebut.
“Projek itu mungkin tidak dapat dibuat sekali gus tetapi akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menggesa Tuai Rumah Suring menghantar surat atau berjumpa dengannya dan penduduknya masih belum menyiapkan rumah sejak kebakaran menimpa rumah panjang tersebut beberapa tahun lalu.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk rumah panjang tersebut atas sokongan mereka kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Jelasnya, sokongan itu membolehkan Barisan Nasional (BN) merampas semula DUN Dudong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Justeru, saya berharap rakyat di sini meneruskan rentak sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) bagi kerusi Parlimen Sarikei.
“Kita telah pun menang peringkat DUN dan jika menang peringkat Parlimen maka semua pembangunan akan mudah dilaksanakan,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Ding turut menyampaikan geran sejumlah RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Suring.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY