'/>

6 anggota polis ditahan terlibat dalam dadah..

ALOR SETAR: Enam polis adalah antara tujuh yang ditahan bersama pelbagai jenis dadah, termasuk 75 kilogram (kg) syabu dalam empat serbuan berasingan di sini dan ibu negara, sejak petang kelmarin hingga awal pagi semalam. Tiga polis bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman manakala tiga lagi adalah anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Semua mereka yang berusia antara 27 tahun hingga 43 tahun, termasuk seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman, berdasarkan maklumat dan hasil risikan. Dalam serbuan pertama di FELDA Sungai Tiang, Pendang di sini, sekitar jam 8 malam kelmarin, dua anggota AKSEM dan seorang awam ditahan bersama dua kereta jenis Mini Cooper S dan Honda Civic Ferio.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui 75kg syabu dan tujuh kg heroin disembunyikan dalam beberapa bahagian kereta Honda itu. "Puluhan bungkusan dadah itu ditemui disembunyikan dalam kotak pembesar suara, but, bawah tempat duduk belakang dan tempat tayar simpanan.

"Dalam serbuan serentak di Changlun, sepasukan polis menahan seorang lagi anggota AKSEM dan menyerbu sebuah rumah serta menemui 4,040 biji pil disyaki dadah yaba," katanya kepada BH, pada Selasa. Sumber berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani pada jam 8.50 malam dan merampas wang tunai RM250,000, mata wang asing pelbagai negara, barang kemas serta merampas dua lagi kereta jenis Mini Cooper dan Proton Persona.

Sekitar jam 1 pagi semalam, polis menahan seorang pegawai polis berpangkat ASP dan dua anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Dalam serbuan itu, polis merampas dua lagi kereta dipercayai milik suspek. Kejayaan STING itu turut dikongsi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter beliau, semalam. Khalid mengucapkan tahniah kepada pasukan STING yang menumpaskan sindiket dadah di Kedah dan Kuala Lumpur serta kejayaan merampas 75kg syabu dan tujuh kg heroin. 

"Syabas STING @PDRMsia gempur makmal dadah di Pendang/Changlun, Kedah dan di Kuala Lumpur. Tangkap tujuh orang dan rampas lebih 75 kg syabu/7kg heroin #GoPDRMGo," katanya. Difahamkan sidang media berhubung kejayaan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/236113?m=1

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY