Kuching:Majlis angkat sumpah di hadapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan masih memegang portfolio yang sama sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.
Turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri ialah Dato Sri Wong Soon Koh, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Fatimah Abdullah, Dato Sri Stephen Rundi Utom, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian.
Manakala, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Naroden Majais mendahului angkat sumpah sebagai menteri muda kerajaan negeri. Diikuti oleh Datuk John Sikie Tayai, Datuk Talib Zulpilip, Datuk Julaihi Narawi, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr. Jerip Susil, Encik Liwan Lagang, Puan Rosey Yunus, Datuk Len Talif Salleh, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Dr. Abdul Rahman Junaidi, Dr. Abdul Rahman Ismail, Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Dr. Annuar Rapaee, Encik Malcom Mussen Lamoh dan Datu Dr. Penguang Manggil.
Kesemua mereka dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri-Menteri Muda Negeri Sarawak selepas bekas Ketua Menteri Sarawak Ke-5 Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem meninggal dunia pada 11 Januari 2017 akibat komplikasi jantung.
Abang Zohari memegang portfolio sebagai Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Perumahan dan Urbanisasi.
Setakat ini semua menteri dan menteri muda masih lagi memegang portfolio yang sama cuma tambahan dalam nama Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi dan tiada pelantikan baru bagi jawatan Timbalan Ketua Menteri, ujar Abang Zohari pada sidang media selepas majlis angkat sumpah berlangsung.
“Kita akan meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham bekas Ketua Menteri dan selagi saya menjadi Ketua Menteri kita akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan mengenai hak negeri sarawak seperti dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak akan membenarkan UMNO masuk ke Sarawak dan kita akan berkerja sebagai satu pasukan iaitu Barisan Nasional (BN), tambah Abang Zohari lagi.
Ditanya mengenai bakal calon bagi DUN N.3 Tanjong Datu, beliau menyatakan sudah pasti akan meletakkan calon yang layak dan boleh menang.
Baca lanjut di :klxpress
No comments: