SARIKEI: Sejumlah 33.96 gram ketulan kristal yang dipercayai syabu dan 216 biji pil yang dipercayai nospan dirampas oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei dalam 'Ops Tapis' yang dijalankan di daerah Matu-Daro, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Dominic Josip Nyarui berkata, kesemua rampasan tersebut adalah dianggarkan bernilai dalam lingkungan RM5,110.00.
"Dalam masa yang sama juga, tujuh belas orang yang dipercayai penagih dan juga penjual bahan yang dipercayai syabu dan pil nospan turut ditangkap dan telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
"Daripada tujuh belas orang tersebut, seorang adalah remaja perempuan yang berusia 18 tahun dan kesemuanya adalah warga tempatan. Kesemua tangkapan adalah berusia dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun.
"Hasil daripada saringan awal ujian air kencing, pihak polis mendapati 10 orang telah positif dadah, termasuk remaja perempuan tersebut," kata Dominic dalam sidang media, hari ini.
Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Menurut Dominic, tangkapan dan kes ini adalah yang pertama bagi tahun ini.
Katanya, pihak polis akan terus memastikan segala aktiviti yang berkaitan dengan dadah ini akan terus dibenteras habis sehabisan.
"Sehubungan dengan itu, kita memohon kerjasama daripada masyarakat untuk turut tampil sama dalam menyalurkan segala bentuk maklumat yang berkaitan dengan perkara ini," tegasnya lagi.
Turut hadir pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei tersebut ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei, ASP Peter Salang Masan serta beberapa orang pegawai dari Jabatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei yang lain.
No comments: