'/>

Kenyataan Media Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

Kenyataan Media Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, di atas kejayaan dalam rundingan penting melibatkan pengambilalihan sepenuhnya hakmilik Empangan Hidroelektrik Bakun daripada Kerajaan Pusat.

Selaku Pengerusi Pemuda BN Sarawak dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, saya juga menzahirkan penghargaan dan terimakasih kepada Kerajaan Pusat, khususnya YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana merealisasikan hasrat Sarawak untuk menjadi hub tenaga di rantau ini.

Kejayaan rundingan ini juga adalah manifestasi jalinan hubungan baik dan erat antara YAB Ketua Menteri Sarawak dengan YAB Perdana Menteri. Ia turut membuktikan keprihatinan Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Najib terhadap keperluan, kehendak dan suara hati rakyat Sarawak.

Pemilikan sepenuhnya Empangan Hidroelektrik Bakun oleh Kerajaan Negeri Sarawak bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dan negeri ini, bukan sahaja dalam memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal sepenuhnya tenaga demi manfaat rakyat serta ekonomi negeri, malah untuk memacu dan merancakkan lagi pembangunan Sarawak.

Semalam, YAB Ketua Menteri Sarawak mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mencapai persetujuan untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti Sarawak Hydro Sdn Bhd (SHSB), pemilik dan operator Empangan Hidro Elektrik (HEP) Bakun daripada Kerajaan Pusat. Syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan mengambil alih HEP Bakun.

Pemuda BN Sarawak akan sentiasa berdiri teguh di belakang Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Negeri Sarawak pimpinan Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, serta menyokong dasar, perjuangan dan usaha-usaha kepimpinan di kedua-dua peringkat bagi membangunkan lagi negeri Sarawak.

Datuk Seri Najib bukan sahaja sentiasa bersikap terbuka dan ikhlas untuk membantu membangunkan Sarawak menerusi komitmen padu dengan menjadi Perdana Menteri paling kerap turun padang ke Sarawak, malah menyalurkan peruntukan yang begitu besar khususnya untuk membangunkan kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak.

Pemuda BN Sarawak juga akan terus bersama-sama menyokong dan mendukung perjuangan Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat Sarawak terus terpelihara.

Dato’ Sri Fadillah Yusof
Pengerusi Pemuda BN Sarawak Merangkap Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)
9 Mac 2017

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY