'/>

Pembentangan RUU 164 Ditangguhkan - Ahmad Zahid

Pembentangan RUU 164 Ditangguhkan - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 ditangguhkan pada persidangan Parlimen sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah menangguhkan pindaan Akta 164 itu untuk memastikan ia tidak bercanggah dengan fatwa dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ketua Whip Barisan Nasional berkata pindaan Akta 164 itu akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk membuat penelitian semula (berdasarkan maklum balas) yang diperoleh daripada pakar-pakar agama, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu.

"Walaupun penelitian sebelum itu telah dilakukan tetapi kerajaan berpendirian pindaan Akta 164 itu harus dilihat semula bagi menentukan ia tidak terus menjadi polemik yang akhirnya membawa kemudaratan kepada negara secara keseluruhan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas status Akta 164 dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menggesa kerajaan menangguhkan pindaan Akta 164 itu kerana ada pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa kerajaan bukan beralah dalam isu berkenaan dan sentiasa komited dalam menjaga kepentingan dan hati semua kaum.

Ditanya jangka masa untuk akta itu siap diteliti, Ahmad Zahid berkata: "Itu terserah kepada Peguam Negara untuk meneliti aspek perundangan daripada pelbagai orang yang mempunyai komitmen untuk melihat akta itu."

Kerajaan juga menyerahkan kepada Peguam Negara untuk menyelesaikannya dan dimuktamadkan sebelum dibentang ke Kabinet untuk kelulusan bagi membolehkan ia dibentangkan di Parlimen, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY