BINTANGOR: Seramai 600 pemohon tersenarai sebagai calon yang layak bagi menghadiri sesi Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PISMP) yang berpusat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Rajang Bintangor yang bermula Isnin (semalam) hingga Khamis ini.
Kesemua yang terlibat perlu melengkapkan kehadiran untuk dua sesi iaitu sesi ujian bertulis dan Sesi Ujian Fizikal (UKF) bermula seawal jam 7.30 pagi.
Calon yang hadir Ketua Penilai ujian UKF, Encik Ismail Dikoh,49, memberitahu Sarawak Voice (SV) semua calon terlibat menduduki ujian bertulis di bilik peperiksaan IPG berkenaan dan kemudiannya menghadiri sesi UKF di dewan besar IPG Rajang Bintangor.
“Calon yang terlibat adalah untuk pemilihan awal bagi ambilan guru pelatih sesi 2017 yang akan bermula pada Jun.
“Untuk pusat pemilihan di IPG Rajang Bintagor, sesi pemilihan berkenaan akan berakhir pada Khamis ini. Hanya mereka yang berjaya dalam kedua-dua ujian berkenaan akan dipanggil semula selepas ini untuk sesi temuduga,”ujarnya.
Tambah Ismail lagi, sesi ujian bertulis membabitkan 195 soalan yang perlu dijawab dalam masa 45 minit.
Manakala untuk UKF, calon akan diuji dengan beberapa disiplin tertentu dalam ujian kecergasan fizikal.
“Tujuan utama UKF adalah bagi memastikan calon guru pelatih terdiri daripada mereka yang sihat dan tidak tergolong dalam kategori obesiti.
“Kita juga menilai dari segi kecerdasan mental calon bagi memastikan mereka mampu menggalas tugas sebagai guru yang berkualiti bagi mendepani cabaran dunia pendidikan abad ke 21 yang kian mencabar,” jelasnya.
Justeru jelas Ismail, setiap calon yang hendak mengikuti sesi pemilihan perlu mempersiapkan diri dengan tahap kecergasan yang baik agar dapat melakukan kesemua disiplin ujian UKF dengan sempurna. sumber:Sarawakvoice
No comments: