'/>

Tarikh lihat anak bulan Syawal 24 Jun

Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ialah petang Sabtu, 24 Jun, bersamaan 29 Ramadan 1438 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa menerusi radio dan televisyen," kata kenyataan itu.

Anak bulan Syawal akan dilihat di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil (Johor); Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati di Kuala Selangor, Bukit Jugra di Banting, Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang, *Mukim Pengkalan Baru, di *Manjong (Perak);* Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi, Menara Alor Setar (Kedah); Bukit Besar di Kuala Terengganu, Bukit Geliga di Kemaman, Pulau Perhentian di Besut dan Balai Cerap KUSZA Setiu (Terengganu).

Lokasi lain ialah di Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai, Menara Bangunan SEDC Kota Bharu (Kelantan); Esplanade Luak, Miri, Teluk Bandung di Kuching, Tanjung Batu di Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil di Putatan (Sabah); Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands, Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang); Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah di Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY