'/>

RM 20,000 Dana Banteras Dadah di Semop

BINTANGOR : Usaha bersepadu badan pertubuhan sukarela untuk membenteras dadah di kawasan DUN N.42 Semop terus diperkasakan melalui suntikan dana RM20,000.

Sumbangan itu diumumkan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop, Abdullah Saidol dalam majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin, semalam.

Sehubungan itu, Abdullah memberitahu, 
peruntukan yang disalurkan melalui dana MRP tersebut akan dibahagikan dua iaitu Bintangor dan Pulau Bruit yang masing-masing akan menerima RM10,000.

"Penyalahangunaan dadah merupakan satu masalah yang amat serius dan saya menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk membenterasnya.

"Sehubungan itu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memastikan masalah ini dapat dibendung hingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata, sasaran mencapai sifar dadah bukan satu perkara mustahil dengan adanya program untuk memeranginya.

Malah katanya, perkara itu boleh dicapai dengan wujudnya kesedaran dalam diri masyarakat bahawa dadah adalah perosak bangsa.

“Kita mesti bersatu hati dan bekerjasama dalam membendung masalah ini daripada terus menular. 

"Pada masa sama, ibu bapa juga berperanan besar, bukan hanya memberi kesedaran tentang bahaya dadah tetapi juga perlu mengawasi dan memantau pergerakan anak-anak,” katanya.

Beliau juga berkata, pelbagai  inisiatif pembangunan belia sedang dilaksanakan untuk menghargai dan menyerlahkan potensi golongan belia setempat.

"Antaranya mempergiatkan program belia melalui Saberkas. Pendekatan ini menunjukkan bahawa kita sentiasa komited dan meletakkan golongan belia sebagai aset terbilang.

"Kesinambungan dan kejayaan masa hadapan negara bergantung pada belia hari ini," katanya.

Program yang dihadiri lebih 2,000 penduduk itu diserikan dengan pelbagai acara menarik. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.

-Utusan Sarawak.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY