'/>

RTP Dipantau Sepenuhnya, Tiada Elemen Salah Guna

KUCHING: Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol menempelak Pengerusi DAP Sarawak yang menuduh peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) disalah guna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Beliau berkata, peruntukan RTP bukannya diberikan secara terus kepada ADUN BN sebaliknya menerusi agensi yang berkaitan selain dipantau Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU).

Menurutnya, Chong sepatutnya mempersoalkan perkara tersebut menerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negeri yang turut dianggotai ADUN dari pembangkang.

"Peruntukan RTP berjumlah RM5 juta yang disalurkan kepada ADUN BN Sarawak juga bergantung kepada kos dan bukannya bilangan projek.

"Adakalanya bilangan projek sedikit namun kos untuk pelaksanaan agak tinggi," katanya ketika sidang media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Malah menurutnya, setiap ADUN BN Sarawak turut diberikan kad skor yang perlu dikemukakan kepada Ketua Menteri setiap suku tahun yang melibatkan bilangan projek, kekerapan turun padang, kunjungan masyarakat ke pusat khidmat dan pelbagai aspek lain.

"Setiap perkara yang kita lakukan termasuk melibatkan projek adalah dipantau," ujarnya.

Abdullah menjelaskan, kerajaan negeri memperkenalkan RTP adalah untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar sekaligus merapatkan jurang dengan bandar.

"Kalau menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan mungkin lambat, oleh itu kerajaan melakukan inisiatif memperkenalkan RTP," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY