'/>

DAP hanya sekadar ‘penumpang’ dalam perjuangan Adenan

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen terlalu cepat membuat andaian rombakan kabinet telah menggugat rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berhubung tuntutan autonomi pentadbiran yang dipelopori Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata, peringatan Chong kepada Adenan supaya ‘bangun dan sedar’ tentang perkembangan ini adalah sesuatu yang melucukan.

“Semua sedia maklum bahawa Adenan adalah orang yang pertama membangkitkan perkara tentang isu autonomi pentadbiran ini beberapa bulan selepas dilantik menjadi Ketua Menteri.

“Adenan lebih dari sedar dan arif tentang segala usaha untuk menuntut kuasa autonomi mengikut Perjanjian Malaysia 1963 serta termaktub dalam Perlembagaan,” ujarnya diminta mengulas mengenai kenyataan Chong pada satu sidang media semalam.

Abdullah berkata lagi Chong serta rakan-rakan beliau dalam DAP hanya sekadar ‘penumpang’ dalam perjuangan Adenan membabitkan isu tersebut dan sekadar untuk meraih populariti politik.

Menurutnya, kerisauan Chong yang sering berpandangan serong terhadap inisiatif Adenan adalah tidak berasas, malah boleh dianggap sebagai tanda-tanda kelemahan DAP yang ketandusan idea.

Sebarang bentuk kejayaan yang diperolehi Adenan melalui rundingan tersebut adalah berita buruk bagi DAP, tegasnya.

Abdullah berkata, perlu diketahui sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri, Adenan telah merangka dan menubuh pasukan beliau sendiri yang arif dan berkebolehan untuk melakukan segala yang perlu dalam usaha menuntut hak auto-nomi ini.

“Inisiatif ini bukan suatu urusan yang mudah. Ia melibatkan banyak penyelidikan dan semakan tentang banyak perkara yang melibatkan undang-undang dan sistem pentadbiran.

“Semua rakyat Sarawak mesti memberi peluang dan kepercayaan kepada Adenan untuk menerajui inisiatif ini,” katanya.

Rombakan kabinet persekutuan baru-baru ini membabitkan pengambilalihan tugas berkaitan undang-undang daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman.

Chong berkata ia menunjukkan kekangan dalam usaha Sarawak menuntut hak autonomi daripada persekutuan.
~klxpress Sarawak

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY