'/>

Pemuda PBB Meradong menyokong pendirian CM Adenan berhubung isu #Petronas

BINTANGOR :  Pemuda PBB N.46 Meradong menyatakan pendirian tegas menyokong tindakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berhubung isu Petronas, semalam.
Sehubungan itu, Ketua Pemudanya, Halmi Morsili dalam satu kenyataannya berkata,  parti itu menyahut baik tindakan kerajaan negeri  Sarawak yang berjaya mencapai  tujuh persetujuan dengan Petronas.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan keberanian Ketua Menteri mengetengahkan hak orang Sarawak.
“Bukan itu sahaja,  kita juga berjaya meletakkan anak tempatan iaitu Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Gani sebagai ahli Lembaga Pengarah Petronas. Apa yang pasti, itu satu keputusan yang amat mengembirakan kita,” katanya.
Malah ujar Halmi,  persetujuan itu juga membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan untuk bekerja dan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Perak.
Dalam tempoh jangka panjang  katanya, langkah itu juga berupaya melahirkan lebih ramai anak Sarawak yang memiliki kemahiran.
“Kita mahu impian untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjadi kenyataan suatu hari nanti.
“Ini satu langkah bijak yang mempunyai manfaat dalam tempoh jangka panjang.  Bagi saya, anak tempatan perlu memanfaatkan peluang itu dengan sebaiknya.  Mereka perlu bersedia dengan melengkapkan diri dengan  ilmu dalam bidang berkaitan.
“Sehubungan itu, juga berharap perbincangan royalti minyak dan perkara lain dipercepatkan supaya memberi lebih banyak pembangunan terutamanya kepada kawasan luar bandar di negeri ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata,  perpaduan terus menjadi agenda kerajaan kerana menyedari peranan pentingnya sebagai prasyarat kesejahteraan hidup  masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Katanya, perjalanan sejarah jelas membuktikan pembangunan yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada corak hidup masyarakat yang hidup saling menghormati, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Katanya, senario positif itu juga berkait rapat dengan suasana negara yang tenteram dengan rakyatnya terus menikmati kemakmuran.

“Pemuda PBB sentiasa mendokong usaha itu.  Kita sedar untuk mengekalkan keamanan bukan mudah. Sebagai rakyat, kita patut bersyukur. Kekal dan tingkatlah perpaduan sedia ada,” tegasnya.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY