'/>

Polis Sarawak Pandang Serius Kegiatan Jual Empat Nombor Ekor Haram

KUCHING -Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJ) mendapati kaunter penjualan empat nombor ekor haram tumbuh bagai cendawan di negeri ini terutama di bandar raya ini, baru-baru ini.
SAC Datuk Dev Kumar
Ketuanya SAC Datuk Dev Kumar dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memandang serius perkembangan ini dan akan terus menjalankan serbuan untuk menghapuskan kegiatan ini yang dilakukan secara terbuka di tempat-tempat awam di bandar raya ini dan kawasan lain di negeri ini.

Beliau berkata sejak minggu lepas (dari 13-19 Mac) polis telah menjalankan 26 serbuan terhadap semua bentuk kegiatan perjudian haram yang membawa kepada penangkapan 41 individu, 26 daripada mreka lelaki berumur di antara 17 hingga 70 tahun.


Katanya 22 daripada serbuan itu adalah ke atas kegiatan menjual nombor ekor haram.

"Pasukan JSJ di ibu pejabat telah menjalankan 14 serbuan dan pasukan JSJ daerah di Kuching, Sibu dan Padawan masing-masing menjalankan dua operasi.

"Pasukan JSJ di bandar Miri dan bandar-bandar seperti Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Saratok dan Marudi juga masing-masing menjalankan satu serbuan," katanya.

Beliau berkata di Kuching, kebanyakan daripada serbuan itu dijalankan di kawasan komersial Kenyalang berikutan aduan orang awam.

Di bandar Bau dan Marudi, polis merampas 34 komputer yang digunakan dalam kegiatan judi siber.

"Keseluruhannya, kesemua serbuan (ke atas judi empat nombor ekor haram) membawa kepada penangkapan 26 orang dan wang tunai RM6,633 dirampas termasuk telefon bimbit, mesin cetak mudah alih dan slip pertaruhan.

Dev berkata 12 serbuan itu dijalankan di tempat awam, lapan di lot kedai, empat di kedai runcit dan dua di kedai kopi.

Beliau berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat kepada polis mengenai kegiatan itu dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan.
-BERNAMA-

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY