'/>

BAYI BARU LAHIR DIJUMPA

KUCHING : Mayat seorang bayi perempuan baru lahir ditemui di tempat pembuangan sampah kawasan pangsapuri di Samajaya, Kuching pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dato' Dev Kumar dalam kenyataan medianya berkata, mayat bayi tersebut ditemui di dalam sebuah kotak berwarna merah oleh seorang pencuci pangsapuri itu semasa membuang sampah kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.

Pihak pengurusan pangsapuri membuat laporan polis setelah dimaklum tentang penemuan itu.

Pihak polis kemudian menahan seorang wanita berumur 24 tahun yang tinggal di kawasan itu, lebih kurang 3 jam selepas menerima laporan tersebut.

Hasil siasatan mendapati wanita yang merupakan seorang penuntut kolej berdekatan melahirkan bayi itu di bilik mandi di salah sebuah pangsapuri itu.

Ini merupakan kes pembuangan bayi pertama dilaporkan di Sarawak tahun ini dan ia disiasat di bawah Seksyen 3-1-8, Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
Oleh:RTM Sarawak

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY