'/>

Adenan arah Fadillah Siasat Kenyataan Chong

Kementerian Kerja Raya sedang mendapatkan data berhubung dakwaan pengambilan sebahagian dana pembangunan lain untuk pembiayaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak oleh kerajaan persekutuan, seperti yang didakwa ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tindakan tersebut dibuat atas arahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang segera menugaskannya menyemak adakah dakwaan itu benar atau tidak.

“Kami sedang memperincikan dan akan mendapatkan data mengenai apa yang diperkatakan.

“Sebaik sahaja data tersebut siap, kami akan serahkan kepada Ketua Menteri untuk beliau melihat sendiri laporan tersebut,” katanya ketika ditemu bual semasa menghadiri program berbuka puasa di Surau Darul Huda, Kampung Siol Kandis di sini, kelmarin.

Namun demikian, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya yakin bahawa perkara berkenaan tidak berlaku sebagaimana yang dikatakan oleh Chong yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching dan pengerusi DAP Sarawak.

“Saya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang yang memegang kepada janji seperti banyak janji yang telah ditunaikan dan memang sedang kita laksanakan,” katanya.

Fadillah menambah, komitmen Perdana Menteri itu jelas apabila telah menetapkan bahawa Pan Borneo adalah dasar untuk membangunkan dan merapatkan pembangunan infrastruktur Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung Malaysia.

Malah, katanya peruntukan Pan Borneo Sarawak juga telah melebihi peruntukan biasa yang kementeriannya dapat dari segi peruntukan pembangunan.

Jelas beliau, misalnya dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) di bawah Rolling Plan 2016, kementeriannya telah mendapat tiga tambahan projek baharu iaitu dua jambatan – Jambatan Rambungan dan Jambatan Igan serta sebuah jejambat di Bintulu.

“Ini merupakan peruntukan tambahan yang menelan lebih RM300 juta,” katanya. -Utusan Borneo

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY