Georgetown- Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya (Zon Utara) ditahan polis selepas didakwa memeras ugut dan meminta rasuah daripada seorang pegawai polis dari kontinjen Pulau Pinang.
Suspek yang berasal dari Kuching, Sarawak itu dikatakan meminta wang sebanyak RM3,000 daripada pegawai polis berkenaan di sebuah restoran di Machang Bubok, Bukit Mertajam di sini malam tadi.
Suspek yang berusia 37 tahun dan sudah berkahwin itu berjaya dicekup sepasukan polis dari bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah kira-kira jam 10.20 malam.
Difahamkan, suspek melakukan jenayah berkenaan sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abd Hamid berkata, suspek didakwa memeras ugut dengan maklumat SPRM untuk mendapatkan wang daripada pegawai polis terutamanya dari bahagian D7 tersebut.
Menurutnya, suspek sering menghubungi pegawai polis terbabit bagi mendapatkan wang tersebut kononnya bagi mengelak ditahan SPRM berikutan mangsa bertanggungjawab membuat laporan perkembangan aktiviti perjudian haram.
"Dijangka suspek akan mendapat perintah reman pagi ini di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments: